Visitors enjoying the sun set at Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 28 OCTOBER 2020.
Visitors enjoying the sun set at Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 28 OCTOBER 2020.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mempertimbangkan untuk membuka semula destinasi pelancongan pada bulan depan selari dengan usaha kerajaan Pusat yang menyegerakan vaksinasi di negeri itu pada Julai dan Ogos.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, destinasi pelancongan perlu dibuka secara berperingkat dengan memastikan keselamatan dijaga.

“Penilaian awal mendapati masa paling baik adalah September kerana pembukaan semula aktiviti pelancongan perlu dibuat secara berperingkat selepas imuniti kelompok atau 80 peratus vaksinasi dicapai,” katanya ketika diwawancara Nanyang Siang Pau.

Menurut Loy Sian, mahu tidak mahu, orang ramai perlu hidup bersama virus untuk tiga hingga lima tahun akan datang.

“Oleh itu, kehidupan perlu diteruskan dengan memastikan imuniti kelompok dicapai selain memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) secara ketat,” katanya.

Tegasnya, perkara mustahak pada masa ini adalah merangka SOP yang baik supaya aktiviti pelancongan dapat dipromosikan dan dijalankan dalam keadaan dikawal dan dipantau.

Menurutnya, disebabkan aktiviti berkumpul dikaitkan dengan jangkitan, maka kegiatan membabitkan makan minum, penginapan dan pengangkutan masih perlu memastikan penjarakan fizikal.

Selain itu, semua petugas yang memberi perkhidmatan berkaitan juga perlu melengkapkan penerimaan vaksin. – MalaysiaGazette