Datuk Azizulhasni Awang semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

SEPANG – Semangat Datuk Mohd Azizulhasni Awang masih membara untuk meneruskan buruan pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024, selepas merangkul pingat perak di edisi Tokyo 2020, semalam.

Pelumba berusia 33 tahun itu berkata, mengikut perancangan awalnya, beliau memang mahu meneruskan cabaran di Olimpik Paris dalam masa tiga tahun lagi.

“Seperti biasa, selepas kejohanan utama, saya akan berbincang dengan jurulatih John Beasley dan pasukan untuk buat perancangan dan penstrukturan semula.

“Bagi saya keazaman dan keinginan masih kuat, saya pun tak ada sebarang masalah dengan fizikal, momentum pun masih baik,” katanya pada sidang media ringkas yang diadakan dengan mematuhi penjarakan fizikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Jepun.
Reaksi atlet, Datuk Azizulhasni Awang semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

Pada final acara keirin lelaki yang diadakan di Velodrome Izu semalam, Jason Kenny dari Great Britain melakukan pecutan awal untuk mempertahankan emasnya, manakala Mohd Azizulhasni berjaya memintas juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda untuk pingat perak.

Juara Dunia Keirin 2017 itu berkata, sejurus tamat kuarantin wajib selama 14 hari, perkara pertama yang beliau akan lakukan ialah bertemu bapanya Awang Embong yang kurang sihat dan ibunya Selamiah Yong di kampungnya di Dungun, Terengganu.

Pelumba yang menerima jolokan ‘The Pocket Rocketman’ turut berkongsi bahawa isterinya Athiah Ilyana Abd Samat yang hamil cahaya mata ketiga, gembira dengan pencapaiannya di Tokyo.

“Sudah pasti dia gembira, walaupun saya tidak dapat membutirkan emas, dia tahu perak pun satu pencapaian yang amat besar, bukan sahaja untuk saya, tapi untuk negara juga. Saya pun terkejut dapat tahu dia hamil …Bersyukur kepada Allah SWT, semua yang berlaku di dunia ini penentuan-Nya,” katanya.

Atlet, Datuk Azizulhasni Awang menunjukkan pingat perak yang dimenangi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni turut merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan sorakan semangat dan kata-kata motivasi positif kepada kontinjen negara yang beraksi di Olimpik Tokyo 2020 bermula 23 Julai hingga 8 Ogos.

“Saya tahu semua rakyat Malaysia berada di hadapan kaca televisyen, bersorak, melompat dan sebagainya. Saya hargai semua itu, terima kasih sangat-sangat, dan kita dapat lihat yang sukan ini adalah medium perpaduan untuk kita rakyat Malaysia.

“Saya harap kita semua rakyat Malaysia meneruskan semangat perpaduan ini, bukan sahaja sekarang sahaja, tapi terus berkekalan sampai bila-bila. I love you all,” katanya.

— BERNAMA