Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 yang akan dikebumikan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 211 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah pesakit maut kini mencecah 11,373 kes.

Dalam perkembangan terkini, seramai 1,053 pesakit pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 546 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan seramai 546 pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 17,973 kes sembuh Covid-19 pula dilaporkan hari ini menjadikan kes kumulatif sembuh 1,075,816 orang.

“Jumlah kes baharu setakat jam 12 tengahari sebanyak 20,780 kes dengan 20,765 melibatkan kes tempatan manakala 15 merupakan kes import.

“Kes aktif setakat hari ini sebanyak 233,358 kes,” katanya kenyataan media harian hari ini. 

Menurut Dr Noor Hisham, Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 6,921 kes.

Ia diikuti Kuala Lumpur (2,065), Johor (1,693), Kedah (1,534), Sabah (1,514), Pulau Pinang (1,385), Kelantan (1,284), Negeri Sembilan (1,015), Perak (828), Melaka (636), Sarawak (634), Terengganu (613), Pahang (585), Putrajaya (41), Perlis (29) dan Labuan (tiga). -MalaysiaGazette