Lionel Messi melengkapkan perpindahan ke PSG dengan menandatangtani kontrak dua tahun dengan gaji lumayan berjumlah RM5.86 juta seminggu. - Kredit laman rasmi PSG.

PARIS – Selepas pelbagai drama dan episod dramatik dari Nou Camp ke Paris, pemain bola sepak bertaraf dunia, Lionel Messi telah diumumkan secara rasmi sebagai pemain Paris Saint Germain (PSG) di Parc des Princes malam tadi.

Bekas legenda Barcelona berusia 34 tahun itu telah menandatangani kontrak bagi tempoh dua tahun.

Bintang Argentina itu akan menerima gaji mingguan berjumlah £1 juta.

Messi bersama isteri dan anaknya terbang dari Madrid semalam dan mendarat di Lapangan Terbang Le Bourget Paris selepas ribuan penyokong setia PSG sudah mula ‘berkampung’ di lapangan terbang dan juga pusat latihan kelab itu sejak pagi lagi.

Bagi mengelak masalah dan insiden tidak diingini, polis telah meletakkan sekatan dan kawalan ketat di kedua-dua tempat itu.

Messi yang memakai baju kemeja PSG melambai tangan ke arah penyokong PSG sejurus mendarat di lapangan terbang dan tiba ke pusat latihan kelab itu untuk menjalani ujian perubatan.

Pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu menjelaskan, dia tidak sabar untuk memulakan babak baru kariernya bersama PSG.

“Segala yang ada di kelab ini serasi dengan cita-cita bola sepak saya dan saya komited untuk menyumbang sesuatu yang sangat berharga untuk kelab dan juga penyokong setianya,” katanya selepas menandatangani kontrak ditemani presiden kelab itu, Nasser Al-Khelaifi.

Messi akan mengetuai jentera serangan pasukan itu yang akan berganding dengan Neymar dan juga Kylian Mbappe.

Gabungan Trio berkenaan dijangka mencetuskan satu saingan yang digeruni dalam kancah liga domestik dan Eropah musim ini.

Dalam kenyataan rasmi di laman web kelab itu, Nasser berkata, pihaknya berbangga dengan keputusan Messi yang memilih PSG.

“Kami mengalu-alukan kehadiran beliau dan keluarganya ke Paris. Messi tanpa berselindung menyatakan dia berhasrat untuk bersaing pada tahap tinggi dan menang seberapa banyak piala yang mampu bersama kelab kami.

“Ia juga adalah misi dan visi kelab ini yang mahu mencapai kegemilangan bersama. Edisi Mssi ke dunia pasukan berkelas dunia (PSG) meneruskan kesinambungan merekrut pemain yang berkaliber ke kelab ini.

“Saya yakin pasukan ini dengan kehadiran Messi akan mencipta sejarah untuk penyokong kita di serata dunia,” katanya.-Dailymail.com