Dr. Siti Hasmah Mohd Ali mempunyai nostalgia indah bersama skuad badminton negara yang muncul juara Piala Thomas 1992. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai satu kehilangan besar buat keluarga badminton negara, khususnya barisan pemain skuad Piala Thomas 1992 yang mencipta sejarah menjulang trofi berprestij itu 34 tahun lepas.

Razif yang merupakan kapten skuad Piala Thomas 1992 berkata Dr Siti Hasmah, selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan sekadar memberikan sokongan kepada pasukan, malah dianggap seperti seorang ibu, kerana sentiasa dekat dan mengambil berat mengenai persiapan pemain.

“Kita anggap beliau sebagai ibu kepada skuad Piala Thomas ketika itu. Kadang-kadang beliau datang ketika latihan, berjumpa dan berbual dengan kami serta memberikan sepatah dua kata untuk menaikkan semangat.

“Kita tidak akan lupa jasa beliau ketika Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992 di Stadium Negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Razif berkata, selain kenangan manis menjulang Piala Thomas 1992, beliau juga tidak dapat melupakan sokongan Allahyarham ketika Sukan Olimpik Barcelona pada tahun sama, yang menyaksikan beliau bersama dengan adiknya Datuk Jalani Sidek mencipta sejarah menghadiahkan pingat Olimpik pertama negara.

Beliau berkata, kehadiran Dr Siti Hasmah di Barcelona ketika itu cukup bermakna buat barisan pemain badminton negara, khususnya dalam memberikan sokongan dan kata-kata semangat sepanjang temasya berkenaan.

“Alhamdulillah kami ketika itu berjaya membawa pulang pingat pertama negara di Sukan Olimpik,” katanya yang kali terakhir beliau bertemu Dr Siti Hasmah pada tahun lepas.

Dr Siti Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here