AICHI – Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky menyifatkan kegagalan Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke final beregu wanita Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai sesuatu yang amat mengecewakan selepas pasangan itu dilihat mempunyai peluang untuk menamatkan saingan dalam dua set.
Rexy berkata, pasangan negara hampir menguasai set kedua namun beberapa kesilapan ketika mata-mata kritikal memberi ruang kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning untuk bangkit sebelum mengesahkan kemenangan dalam set penentuan.
“Memang sangat sayang kerana kita boleh pergi lebih daripada itu. Pada set kedua, kita sudah hampir mendapatkannya tetapi ada sedikit kesilapan pada mata-mata kritikal.
“Pada mata-mata kritikal itu, mereka (Sheng Shu-Nin) mungkin lebih berani kerana mereka bermain lebih bebas, nothing to lose,” katanya ketika ditemui.
Pearly-Thinaah terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada Sheng Shu-Ning pada aksi separuh akhir di Ichinomiya City Municipal Gymnasium di sini hari ini.
Rexy berkata, aspek kekuatan fizikal turut menjadi antara perbezaan ketika pasangan negara berdepan tekanan dalam set penentuan.
“Dalam set ketiga kita kalah dari segi kekuatan,” katanya.
Dalam pada itu, Rexy tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan skuad negara yang disifatkan semakin menunjukkan kesepaduan, baik dalam kem lelaki mahupun wanita.
Beliau berkata beberapa aspek yang dikenal pasti perlu diperbaiki akan diberi perhatian sebagai persiapan menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Sukan SEA tahun depan dan sasaran jangka panjang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Kita memang lihat pasukan lelaki dan wanita mempunyai pasukan yang mantap dan bermain dengan baik.
“Untuk Sukan SEA tahun depan dan Olimpik LA, kita mungkin perlu bekerja lebih dalam perkara yang kita nampak sekarang. Dari segi kemahiran, pemain kita masih okey tetapi mungkin perkara di luar daripada itu, termasuk aspek kekuatan, perlu kita perbaiki,” katanya. – BERNAMA















