KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali disayangi ramai pihak tanpa mengira kecenderungan politik.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, Allahyarham turut dihormati oleh rakan mahupun lawan politik yang merupakan anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.
Shahrizat turut mengimbau pengalaman ketika mengiringi Dr. Siti Hasmah pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa khususnya Sidang Kemuncak Wanita Pertama Sedunia (Global First Ladies Summits).
Beliau bangga melihat wanita pertama negara lain memberikan penghormatan dan sanjungan yang amat tinggi kepadanya.
“Penghormatan itu bukan sekadar kerana beliau isteri Perdana Menteri, malah kerana ilmu, kewibawaan, kejujuran serta keperibadian menyerlah, bermaruah dan penuh kesantunan,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri yang juga ibu kepada tujuh anak, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi ini pada usia 100 tahun.
Shahrizat selanjutnya berkata, Dr. Siti Hasmah dan suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan sebagai contoh pasangan suami isteri dengan ikatan paling utuh yang pernah dikenalinya.
Menurut beliau, kedua-dua sentiasa seiring sejalan namun Allahyarham sentiasa menjadi penyeimbang yang tenang dan stabil buat suaminya.
Sambil mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga pasangan itu, beliau menyifatkan negara kehilangan legenda dan ikon serta sumber inspirasi lelaki dan wanita yang tiada tolok bandingnya.
“Jasa Allahyarham sebagai seorang doktor, ibu serta isteri pemimpin amat terserlah dan dihargai,” ujarnya.
“Satu cahaya telah pun malap di negara ini. Selamat tinggal buat selamanya, YABhg Tun tetap disayangi, dihormati dan sentiasa dalam doa kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















