IPOH – Sebanyak 518 kes krisis tingkah laku bunuh diri yang meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri telah diselamatkan melalui Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 sejak kira-kira empat tahun lepas hingga kini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut 347 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi.
“Sebanyak 171 kes cubaan bunuh diri telah dirujuk dengan mengaktifkan MERS999 dan mendapat kerjasama daripada pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Jabatan Kecemasan, mereka ini berjaya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Utama Kolej Poly-Tech MARA, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, jumlah panggilan yang diterima menerusi talian yang sebelum ini dikenali sebagai Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial yang dimulakan sewaktu pandemik Covid-19 itu, adalah 267,873 panggilan bagi tempoh yang sama.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut 220,856 (82 peratus) klien telah menerima bantuan sokongan emosi manakala 47,014 (18 peratus) klien telah diberikan intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.
Beliau berkata, walaupun saban tahun terdapat peningkatan jumlah panggilan, ia adalah gambaran masyarakat mula membuka mata terhadap perkhidmatan tersebut dan mereka mempunyai sistem sokongan yang disediakan untuk membuat aduan apabila berdepan masalah mental.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani isu mental dalam kalangan pelajar sekolah yang mendorong kepada tindakan bunuh diri termasuk yang berpunca daripada tekanan akibat dibuli.
“Ia termasuk memperkasa perkhidmatan kaunseling di sekolah menerusi saringan, rujukan dan intervensi awal melalui pasukan Pasukan Bantuan Khas MHPSS (Pasukan Mental Health and Psychosocial Support) bagi individu, sekolah atau komuniti yang terkesan.
“Kita juga menjalankan Program Kesihatan Sekolah iaitu tingkatkan kecelikan kesihatan mental, membina daya tindak yang sihat, mewujudkan persekitaran sekolah inklusif juga kerjasama inter-agensi termasuk dengan PDRM,” katanya. – BERNAMA
















