KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang selepas melanggar sebuah kereta yang masuk ke simpang di Kilometer 15 Jalan Kulai-Kota- Kota Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan yang berlaku pukul 7.15 pagi melibatkan motosikal jenis Honda RS150R dan kereta Perodua Myvi.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa kedua-dua kenderaan itu datang dari arah Kota Tinggi-Kulai sebelum kereta di hadapan masuk simpang kanan.
“Motosikal dari arah belakang memotong sebelah kanan dan tidak sempat mengelak sebelum berlaku pelanggaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan Mohd Afiq Rozlan yang berusia 36 tahun mendapat kecederaan parah di bahagian kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu kereta iaitu wanita tempatan yang berumur 30 tahun tidak mengalami kecederaan tetapi mengalami trauma akibat kemalangan itu.
Tambahnya, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara 5 hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun. – MalaysiaGazette
















