Kenderaan yang membawa Menteri Dalam Negeri dan juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin tiba dipercayai untuk menghadiri mesyuarat khas Perikatan Nasional yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 OGOS 2021.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai sedang mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) di pejabatnya petang ini.

Kenderaan membawa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilihat memasuki Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Perdana Putra pukul 3.40 petang.

Kenderaan yang membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tiba dipercayai untuk menghadiri mesyuarat khas Perikatan Nasional dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 OGOS 2021.

Selang tujuh minit kemudian, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula tiba di Perdana Putra untuk menghadiri mesyuarat sama.

Tepat pukul 4.13 petang, dua buah lagi kenderaan membawa menteri memasuki Perdana Putra.

Bagaimanapun, tidak dapat kepastian menteri mana yang dilihat memasuki PMO itu.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dilihat memasuki PMO pukul 4.36 petang.

Pukul 4.56 petang, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga tiba di Perdana Putra untuk menghadiri mesyuarat khas ketua-ketua parti dalam PN. – MalaysiaGazette