Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah hilang majoriti.

Beliau berkata, laporan sebuah portal berita itu tidak benar dan palsu.

Azhar merujuk laporan menggunakan logo Suara.TV  hari ini bertajuk ‘Perdana Menteri Terima Surat Speaker Maklum Tiada Majoriti, Mahu Bubar Parlimen’.

Laporan tersebut menyebut Azhar sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada Muhyiddin  bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri itu sudah tiada majoriti.

“Saya menafikan laporan berita tersebut dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada Perdana Menteri seperti yang dilaporkan. Berita tersebut adalah berita palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun portal itu menafikan pihaknya ada menerbitkan berita tersebut dan menegaskan artikel itu menggunakan logo palsu. – MalaysiaGazette