Polis rampas pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian.

BALIK PULAU – Lelaki yang menjadi buruan polis ekoran melakukan onani di sebuah kedai serbaneka di sini berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 21 tahun yang juga pekerja kilang itu ditahan kurang 24 jam selepas laporan  berhubung kejadian dibuat mangsa.

“Suspek yang masih bujang itu ditahan di tepi jalan besar di sini sebelum kita menyerbu rumahnya di Titi Teras. Dalam serbuan di rumah, kita merampas topi keledar, seluar serta baju yang dipercayai digunakan suspek pada hari kejadian.

“Hasil soal siasat suspek mengaku pergi ke kedai serbaneka itu pada Selasa lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tambah Kamarul, suspek akan dituduh di Mahkamah Balik Pulau esok mengikut Seksyen  294 (a) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan polis sedang memburu lelaki yang bertindak jelik dengan melakukan onani di dalam sebuah kedai serbaneka di Jalan Tun Sardon di sini, pada Selasa lalu.

Insiden terbabit yang dirakam menerusi kamera litar tertutup kedai tersebut turut tular di media sosial.

Video berdurasi satu minit 13 saat itumenunjukkan lelaki terbabit melakukan onani di bahagian rak menempatkan tisu di dalam kedai serbaneka tersebut. – MalaysiaGazette