ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, keabsahan kerajaan negeri akan dibuat pada ucapan penggulungan pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor nanti.
Beliau berkata, keabsahan itu nanti merangkumi pendirian UMNO Johor terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sebagai seorang pemimpin, kita perlu dan seharusnya mempunyai pendirian dan perlu dinyatakan dengan jelas.
“Saya berpandangan, mengenai persoalan keabsahan perdana menteri dari sudut saya sebagai ketua kerajaan negeri, perkara itu sebagaimana yang saya nyatakan lebih awal akan diperjelaskan melalui dewan ini nanti.
“Jadi penjelasan akan dibuat semasa ucapan penggulungan saya nanti,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Pada 6 Ogos lalu, Hasni berkata, keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor dan Menteri Besar Johor akan ditentukan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hasni berkata, sidang DUN merupakan saluran paling tepat untuk berbincang dan menentukan keabsahan kerajaan negeri termasuk kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan negeri.
Ia susulan tindakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Hasni yang mendapat sokongan daripada UMNO, Bersatu, MIC dan Pas memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP, Amanah dan PKR.
Sebanyak 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkini iaitu UMNO dan DAP masing-masing 14, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (12), MIC (2), Pas (1) manakala Parti Amanah Negara (6) serta Parti Keadilan Rakyat (7).-MalaysiaGazette