BALIK PULAU – Polis sedang memburu lelaki yang bertindak jelik dengan melakukan onani di dalam sebuah kedai serbaneka di Jalan Tun Sardon di sini, pada Selasa lalu.

Insiden yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut turut tular di media sosial.

Video berdurasi satu minit 13 saat itu  menunjukkan lelaki terbabit melakukan onani di bahagian rak menempatkan tisu di dalam kedai serbaneka tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang remaja perempuan yang juga pekerja kedai serbaneka pada jam 2.45 petang, semalam.

Kamarul Rizal.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati suspek memasuki premis itu pada jam 8 malam dan ketika kejadian pengadu berusia 17 tahun berada seorang diri.

“Suspek yang dikenalinya itu masuk untuk membeli barang sambil berbual berkenaan kondom sebelum berjalan ke arah bahagian rak tisu dalam kedai itu.

“Apabila sampai di ruangan itu, suspek tiba-tiba melakukan perbuatan melancap.

“Terkejut dengan perbuatan suspek, mangsa bersembunyi di dalam bilik stor bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, suspek beredar dari lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan usaha menjejaki suspek giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan mengaibkan,” ujar Kamarul Rizal.

Sehubungan itu, Kamarul Rizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette