Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 yang akan dikebumikan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2021.

PERTEMBUNGAN beradu kepintaran menjawab soalan teka-teki di antara Pak Belalang sebagai Ahli Nujum Negara yang mewakili negeri Beringin Rendang dengan Datuk Ahli Nujum lakonan Udo Romar mewakili negeri Masai antara babak yang diingati dalam filem yang ditayangkan pada 1959.

Salah satu soalan teka-teki yang pastinya penonton setia filem ini masih ingati adalah perihal banyak-banyak, sedikit-sedikit, jarang-jarang dan kadang-kadang yang ingin penulis bawakan naratifnya dengan situasi semasa pandemik Covid-19 negara yang semakin membimbangkan.

Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia mencatatkan angka kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 1.3 juta kes dengan lebih 11,000 nyawa telah terkorban kerananya. Dengan laporan kes baharu yang dilaporkan secara harian sekitar angka 15,000 hingga 20,000 sejak kebelakangan ini, pastinya untuk kembali ke angka bawah 100 atau 0 yang pernah kita catat dahulu masih jauh perjalanannya. Kata orang banyak ranjau dan liku-likunya tetapi bukanlah mustahil untuk kita kembali ke angka tersebut.

Berbalik kepada naratif banyak, sedikit, jarang dan kadang-kadang yang ingin penulis sentuh dalam penulisan ini, ia bertitik tolak dengan kita mengimbau semula senario sewaktu di peringkat awal gelombang pertama Covid-19 melanda negara. Pada waktu itu kita mungkin hanya berada pada keadaan ‘jarang-jarang dan sedikit-sedikit’ mendengar khabar berita jiran tetangga, rakan sekerja, sanak saudara mahupun ahli keluarga yang dijangkiti virus ini. Kadar kematian ketika itu juga masih kecil, tidak juga berlaku secara harian, justeru angka kematian kerana COVID-19 hanya menjadi topik yang ‘kadang-kadang’ sahaja kita bualkan dan ambil tahu.

Selepas negara dibadai gelombang ketiga penularan Covid-19 di tambah pula apabila varian Delta ‘terlepas masuk’ ke dalam negara, kegerunan masyarakat pada virus lebih nyata apabila keadaan dahulu yang jarang-jarang, sedikit-sedikit dan kadang-kadang sudah menjadi banyak-banyak. Kes jangkitan dan kematian yang dilaporkan sudah mula berada dalam lokaliti di mana kita tinggal. Kita juga mula mendapat banyak khabar berita insan-insan yang kita kenali seperti rakan sepengajian, staf di tempat kerja, sanak saudara, penduduk kejiranan malahan ahli keluarga terdekat dijangkiti virus Covid-19 dari hari ke hari.

Lebih menyedihkan apabila dalam kalangan mereka ini juga telah meninggal dunia tanpa kita beroleh peluang datang menziarahi semasa sakit mahupun punyai kesempatan menatap wajah mereka di saat nyawa terakhir. Jangkitan melalui varian Delta sukar di kawal dan sungguh merbahaya kerana ia dapat merebak dengan cepat dalam masa hanya 15 saat melalui udara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau turut akui kerana jangkitan ini berlaku melalui udara ia telah meningkatkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang menyebabkan peningkatan kes harian sejak 26 Jun lalu. “Kalau kadar kebolehjangkitan virus biasa antara 2.5 hingga 3 tetapi varian Delta dan varian yang kita kenal pasti adalah tinggi iaitu 5 hingga 8 kerana sifat virus berubah. Ertinya kalau 100 orang dijangkiti dalam tempoh masa terdekat akan jangkiti 500 hingga 800 orang,” ujarnya.

Ketika kita masih bergelut peningkatan kes kerana varian Delta, pakar kesihatan antarabangsa mendedahkan penemuan varian baharu yang lebih berbahaya darinya iaitu varian Lambda yang pertama kali di kesan di Peru dan mengakibatkan jangkitan lebih 80 peratus kes di negara tersebut.

Pak Belakang menang kerana nasib dan tuah, tetapi kita tidak akan menang dengan cara sebegitu dalam beradu kekuatan dengan Covid-19 kini. Tewasnya Masai kepada Beringin Rendang, hanya kedaultan negeri menjadi galang gantinya, tetapi jika tewasnya kita kepada Covid-19, negara akan runtuh manakala rakyat pula kehilangan nyawa.

Lindungi diri kita dan semua dengan pengambilan vaksin dan kekalkan disiplin kendiri untuk terus patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 walau di mana berada. Janganlah kita menjadi tangan-tangan yang memperjudikan pengorbanan dan perjuangan barisan hadapan kesihatan negara kerana pentingkan diri, alpa dan leka.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis


Sekian, terima kasih.