Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob difahamkan mengunjungi kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, di Saujana di sini kira-kira jam 2.15 petang tadi.

Difahamkan pertemuan antara Ismail Sabri, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, bersama beberapa pimpinan UMNO negeri bagi membincangkan isu semasa politik negara.

Terdahulu, Ismail Sabri menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, pagi tadi.

Ismail Sabri tiba di Istana Pasir Pelangi kira-kira 10.45 pagi dan pertemuan bersama Sultan Ibrahim berlangsung selama lebih sejam.

Sementara itu, Hasni memberitahu media, beliau akan membuat penjelasan mengenai keabsahan kerajaan negeri ketika ucapan penggulungannya pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan (DUN) Johor, kali ini.

Hasni berkata, ia berkenaan penjelasan dan pendirian UMNO Johor berhubung sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan dijelaskan pada sesi penggulungannya itu.- MalaysiaGazette