MADRID – Nampaknya Barcelona dan juga penyokong setianya masih belum pulih sepenuhnya dari luka akibat pemergian Lionel Messi dari Nou Camp dan menyertai Paris Saint Germain (PSG).
Para penyokong setia kelab itu yang ditenggelami era gemilang Messi lebih dua dekad kini seolah hilang semangat untuk menyokong kelab the Catalans.
Mereka seolah hilang mood untuk menghadapi kempen musim baharu La Liga Sepanyol yang akan membuka tirai malam ini apabila hanya 15,820 penyokong sahaja yuang menempah tiket untuk aksi Ahad ini menentang Real Sociedad di Nou Camp.
Jualan tiket yang agak suram itu apabila peluang penonton kembali ke stadium dibuka selepas 17 bulan akibat Covid-19.
Permainan penuh berkompetitif oleh Barcelona di hadapan penonton sendiri di Nou Camp adalah semasa Messi menjaringkan gol tunggal dalam aksi menang berdepan Real Sociedad pada7 Mac 2020.
Salah satu insiden yang dianggap membawa impak mendalam dalam hati penyokong Catalans adalah poster gergasi yang mengandungi wajah Messi ditanggalkan di hadapan Nou Camp.
Insiden penanggalan poster wajah Messi ternyata menunjukkan masih ramai lagi penyokong belum keluar dari trauma ketiadaan ‘raja’ bola sepak mereka dan belum bersedia menerima era baharu tanpa penjaring sepanjang masa kelab itu yang kini bersama PSG memulakan cabaran baharunya dalam Ligue 1 Perancis.
Laporan terkini berkata, daripada 83,500 pemegang tiket musim, hanya 15,820 orang yang menempah tiket aksi pertama di halaman Nou Camp menentang Real Sociedad.
Perkembangan terbaharu ini dilihat sebagai satu proses tidak sebegitu baik untuk kelab itu.
“Jika benar peninggalan Messi membawa impak mendalam, maka ahli Barcelona memberi mesej jelas kepada kelab mereka yang memulakan musim Ahad ini dengan satu masalah yang agak serius,” lapor akbar AS. – Dailymail.com.