Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah dimaklumkan mana-mana pihak berhubung penyerahan petisyen memohon Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memberi pengampunan diraja kepadanya.

Sebaliknya, Najib tidak menolak kemungkinan usaha itu didalangi pihak tertentu yang mahu menjejaskan imejnya di mata rakyat, apatah lagi beliau sedang menghadapi kes berprofil tinggi di mahkamah.

“Apabila ini menjadi berita utama portal Perikatan Nasional (PN) MalaysiaNow dan ianya disiar secara live, kita tahu-tahu lah pihak siapa punya kerja untuk kenakan saya.

“Saya berterima kasih pada NGO ini sebab mengambil berat pada saya tetapi saya tak pernah berhubung dengan mereka dan tidak diberitahu tentang petisyen mereka kepada Istana pagi tadi,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar memberikan Pengampunan Diraja kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Pengerusinya, Syed Muhammad Imran S.N. Syed Abdul Aziz berkata, ia merangkumi semua tindakan mahkamah, sama ada kes sedang berjalan mahupun yang telah dijatuhi hukuman bersalah ke atas Ahli Parlimen Pekan itu.

Beliau berkata, pengampunan itu penting bagi membolehkan Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Interim dan kembali mentadbir negara dalam mendepani pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Najib mengulangi pendiriannya bahawa beliau komited untuk membersihkan namanya melalui proses perundangan dan bukannya dengan tindakan menggugurkan kes sedia ada.

“Saya mahu kes-kes saya melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil dan telus sebab ianya satu-satu cara sahaja untuk bersihkan nama saya sepenuhnya.

“Saya tidak mahu kes saya digugurkan begitu sahaja dan saya tidak mahu apa-apa campur tangan politik.

“Saya amat yakin saya tidak bersalah. Sebab itu apa perlunya saya diampun sekiranya saya tak salah?

“Berani kerana benar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Cantik lah tu bebaskan datok sri najib tangkap ngo itu masuk penjara ganti najib. Inilah ngo yang tidak ada marwah diri dsn bersifat buta tuli yang patut polis buat siasatan tentu ada apa2 ni

  2. Lantik jer jadi menteri maka guggurlah kes mahkamah macam kes rasuah lge bekas menteri wang, kan?

Comments are closed.