Muhammad Ziyad Zolkefli.

KUALA LUMPUR – Dua atlet Selangor yang bakal mewakili Malaysia ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Muhammad Hafiz Jamali menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada kerajaan negeri.

Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan merangkap Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, sumbangan itu diharap dapat menjadi suntikan semangat kepada kedua-dua atlet berkenaan.

Selain itu ia dapat menggunakannya sebagai persediaan di Tokyo nanti.

“Gunakan dengan sebaiknya dan harapan kami (kerajaan negeri) supaya kalian jaga kesihatan di sana, buat sehabis baik. Tidak dinafikan kami seluruh rakyat Selangor bangga dengan kalian kerana antara 6.3 juta rakyat negeri ini kalian terpilih,” katanya semasa sembang santai bersama Ziyad dan Muhammad Hafiz menerusi dalam talian hari ini.

Sembang Santai Bersama Atlet Negeri Selangor Mewakili Negara Temasya Paralimpik Tokyo 2020 secara atas talian.

Dalam masa yang sama, Khairuddin berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan ganjaran yang bakal diberikan kepada kedua-dua atlet paralampik berkenaan sekiranya berjaya membawa balik pingat.

Pelumba basikal trek para negara, Muhammad Hafiz Jamali.

“Sejarah membuktikan apabila saudara Ziyad menang di Rio baru-baru ini Selangor menyerahkan sebuah rumah kepada beliau insya-Allah sekiranya kedua-dua ini pulang cemerlang kita akan bawa kepada perbincangan bagi ganjaran bersesuaian nanti,” ujar beliau.

Muhammad Hafiz akan mewakili negara ke temasya Paralimpik Olimpik untuk acara berbasikal buat julung kalinya.

Manakala, Ziyad pula mewakili negara untuk acara lontar peluru buat kali ketiga.

Sementara itu, Khairuddin berkata, kerajaan negeri komited untuk terus berusaha melahirkan seberapa ramai atlet yang akan mewakili negara di temasya sukan antarabangsa seterusnya mengekalkan Selangor sebagai peneraju kecemerlangan sukan di negara.-MalaysiaGazette