KABUL – Kubu kuat tentera kerajaan Afghanistan di utara negara itu, Mazar-e-Sharif kini berjaya dikuasai Taliban.
Ekoran penawanan bandar itu, saki baki askar yang berada di situ kini dilapor menyeberang sempadan ke Uzbekistan untuk menyelamatkan diri.
Dalam reaksinya kepada TRT World, Afzal Hadid, Ketua Majlis Wilayah Balk berkata, bandar itu dikuasai tanpa pertempuran selepas tentera kerajaan meninggalkan senjata dan kemudian mencari perlindungan.
Tentera Taliban kini dilapor menguasai semula sebahagian besar Afghanistan di mana wilayah utara, barat dan selatan telahpun berjaya dikuasai, tiga minggu sebelum Amerika Syarikat mengundurkan tentera terakhirnya dari negara itu.
Berikutan situasi genting, Presiden Ashraf Ghani telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin tempatan dan antarabangsa bagi menghalang kemaraan musuh yang semakin menghampiri ibu negara.
Taliban kini dilapor berada hanya 50 kilometer dari Kabul, yang menjadi benteng terakhir kerajaan.
Amerika Syarikat kini dilaporkan sedang memantau proses pemindahan pekerja kedutaan, ribuan warga Afghanistan dan ahli keluarga mereka selepas memutuskan untuk mengeluarkan pasukan keselamatan dari negara ini. – TRT World