TOKYO- Jepun menzahirkan kebimbangan serius terhadap potensi impak daripada tarif Amerika Syarikat yang dikenakan terhadap China, Kanada dan Mexico.
Menteri Kewangan Jepun, Katsunobu Kato dalam sebuah program televisyen memberitahu, beliau bimbang langkah yang diambil pentadbiran Presiden Donald Trump bakal memberi kesan buruk kepada ekonomi global.
Tegasnya, Jepun perlu menilai secara teliti pergerakan tukaran asing serta tinjauan masa hadapan dasar monetari AS yang merupakan rakan dagang utamanya.
Untuk rekod, semalam Trump mengarahkan tarif sebanyak 25 peratus dikenakan terhadap import dari Kanada dan Mexico manakala barangan dari China dikenakan tambahan 10 peratus.
Langkah itu telah mengundang kecaman hebat serta amaran tindak balas daripada negara terbabit.
Kanada contohnya, segera mengumumkan levi 25 peratus ke atas import AS.
“Kami perlu memantau teliti bagaimana Jepun boleh terkesan (akibat pelaksanaan tarif tersebut) dan mengambil langkah perlu bagi menanganinya,” kata Kato yang merujuk kepada kebimbangan beliau terhadap inflasi akibat peningkatan tarif yang dikenakan Washington. Agensi
















