Lebih 1,200 telefon bimbit milik pusat panggilan penipuan dirampas pasukan keselamatan Thailand Foto Bangkok Post

TAK, THAILAND- Pegawai keselamatan menahan seorang lelaki bersama lebih 1,000 komputer, telefon bimbit dan kad SIM milik pusat panggilan penipuan di daerah Mae Ramat berhampiran sempadan wilayah barat.

Menurut laporan media tempatan, sepasukan anggota terdiri daripada tentera Pasukan Khas Ratchamanu, polis kawalan sempadan dan pegawai-pegawai pentadbir meronda dan membuka pusat pemeriksaan bagi mengesan aktiviti haram.

Mereka kemudiannya menahan sebuah trak pikap sebelum menemukan 1,251 telefon bimbit, 274 kad SIM dan 19 unit komputer di dalam kenderaan terbabit.

Pemandu yang dikenali sebagai Tid, 45, berkata, dia dibayar 5,000 baht (kira-kira RM670) untuk mengambil barangan tersebut dari tepi sungai Moei di kampung Bann Nam Dib Bon Warn di daerah Mae Ramat.

Menurut Tid, dia perlu menghantar barangan tersebut menerusi syarikat kiriman barang dan dialamatkan kepada individu bernama Pawalee yang tinggal di daerah Sa Kaeo, wilayah yang bersempadan dengan Kemboja.

Untuk rekod, jarak di antara daerah Mae Ramat dengan Bangkok adalah kira-kira 529km dan ia terletak berhampiran Myanmar.

Komander Pasukan Petugas Khas Ratchamanu, Kolonel Natthakorn Ruantip berkata, siasatan lanjut mendapati barangan elektronik yang dirampas itu milik sebuah pusat rangkaian panggilan yang berpangkalan di Myawaddi, Myanmar yang terletak berhadap daerah Mae Sot di Tak.

“Mereka berhasrat untuk memindahkan operasi ke bahagian Kemboja, berhadapan Sa Kaeo,” katanya.

Tambah beliau, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat.

Tid pula telah dibawa ke balai polis Mar Ramat untuk siasatan lanjut dan tindakan perundangan. -Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast