JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim meminta kerajaan negeri memastikan pengurusan situasi Covid-19 ditambah baik dan penyumberan luar pesakit bukan Covid-19 diuruskan ke hospital swasta bagi meringankan bebanan terhadap sistem kesihatan awam.
Menurut Tunku Ismalil, perkata itu harus dimulakan segera dan secara berperingkat-peringkat.
“Pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Sultan Ismail akan dipindahkan ke Hospital Columbia Asia, manakala pesakit dari Hospital Sultanah Aminah akan dipindahkan ke Hospital KPJ.
“Menteri Besar Johor juga telah mengumumkan penambahan katil di wad Covid-19 Hospital Sultan Ismail dan kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma akan ditambah baik,”jelas kenyaataan di laman rasmi Facebook miliknya susulan paparan media sosial yang viral mengenai keadaan pusat kuarantin pesakit Covid-19 di HSI di sini.
Menurut Tunku Ismail, langkah itu telah pun dimaklumkan kepada kerajaan negeri dalam perjumpaan bersama Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R.Vidyanathan Ramanadhan dan Pengarah JKNJ Datuk Aman Rabu hari ini.
Dalam pada itu, satu inisiatif baru, IPA-C (INISIATIF PEMIMPIN ADVOKASI COVID-19) akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri Johor, JKNJ dan pemimpin-pemimpin komuniti tempatan.
Objektif inisiatif ini jelas Tunku Ismail untuk mencegah penularan wabak Covid-19 dengan mengutamakan konsep tanggungjawab kolektif dalam menggerakkan dan memperkasakan komuniti, memantapkan konsep Komunikasi Risiko yang berkesan.
Langkah ini dipercayai dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dan memperkukuhkan usaha-usaha pemantauan terhadap pematuhan SOP.
“Proses vaksinasi juga harus dipercepatkan dan sentiasa dipantau oleh agensi-agensi dan pihak berkuasa agar proses vaksinasi dapat dijalankan secara baik, cepat, selamat dan tidak membebankan rakyat yang datang ke PPV.
“Selain daripada mempercepatkan proses vaksinasi, kita juga perlu beri tumpuan kepada pesakit Covid-19 supaya mereka mendapat jagaan rapi yang sebaiknya, menurut kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette