GEORGE TOWN – Kekurangan bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer menyebakan janji temu bagi suntikan dos kedua vaksin tersebut di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Pulau Pinang terpaksa ditunda.
Antara PPV terlibat adalah Kompleks Sukan Balik Pulau dan Dewan Balai Rakyat Bayan Baru bagi Daerah Barat Daya; Tapak Pesta Pulau Pinang, Daerah Timur Laut; Dewan Milenium, Daerah Seberang Perai Utara; Kampus Induk, Universiti Sains Malaysia (USM) dan SP Arena, Daerah Seberang Perai Tengah.
Pejabat Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, negeri itu dijadualkan menerima 368,550 dos vaksin Pfizer bagi bulan Ogos 2021 iaitu dengan pecahan penghantaran 87,750 dos pada minggu pertama; minggu kedua (58,500); minggu ketiga (93,600) dan minggu keempat (128,700).
“Ekoran kekurangan bekalan vaksin tersebut pada minggu kedua menyebabkan janji temu bagi suntikan dos kedua 2 di beberapa PPV telah ditunda ke tarikh 22 Ogos 2021 ke atas.
“Bagi 58 klinik swasta dan 10 hospital swasta yang beroperasi sebagai PPV, pemberian dos kedua Pfizer juga telah dijadualkan ke minggu seterusnya iaitu pada 22 Ogos 2021 ke atas.
“Bagaimanapun, penundaan tersebut tidak menjejaskan operasi harian PPV bagi suntikan dos pertama,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, semua pihak berkaitan telah diberikan notis awal oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan semua tarikh janji temu baru juga sudah dimaklumkan kepada individu terlibat menerusi aplikasi MySejahtera masing-masing.
“Kerajaan Negeri memandang serius permasalahan yang berlaku dan menegaskan bahawa Kementerian berkaitan perlu segera mengambil langkah perlu bagi memastikan situasi sama tidak berulang.
“Sebagaimana ditegaskan Kerajaan Negeri sebelum ini bahawa pengagihan serta penghantaran vaksin adalah perlu seimbang supaya tidak menimbulkan kesulitan sebegini.
“Kerajaan Negeri yakin kita masih mampu mencapai sasaran iaitu 100 peratus populasi dewasa di negeri ini menerima suntikan dos pertama menjelang awal September atau tempoh lebih awal yang disasarkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette