Lelaki tempatan berusia 42 tahun maut ditembak semasa sedang memandu kenderaan pacuan empat roda SUV dalam kejadian petang tadi di Bukit Rahman Putra.

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki maut ditembak empat das dalam satu insiden di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh,  Superintendan Shafaa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian berkenaan pukul 1.30 petang tadi

“Kami dimaklumkan seorang lelaki berusia 42 tahun ditembak ketika dia sedang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover di lokasi berkenaan.

Keadaan kenderaan SUV dipandu mangsa yang ditembak mati dalam kejadian hari ini.

“Siasatan awal polis di lokasi mendapati mangsa ditembak sebanyak empat das tembakan sebelum telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada 2.15 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shafaa’aton, polis sedang melakukan siasatan mendalam bagi mengenalpasti motif kejadian tembak itu.

Menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pihak polis di talian 03-61561222.- MalaysiaGazette