PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet hari ini.
Beliau meninggalkan Perdana Putra kira-kira jam 12 tengah hari dan menuju ke Istana Negara.
Muhyiddin diiringi beberapa buah kenderaan lain termasuk pasukan pengiring polis keluar melalui pintu protokol.
Muhyiddin yang menuju ke Istana dengan menaiki Vellfire hitam segak mengenakan songkok di kepala sempat menurunkan tingkap dan melambai ke arah pengamal media.
Sebelum itu, beberapa jemaah Kabinet Perikatan Nasional (PN) dilihat meninggalkan Perdana Putra.
Antara yang dilihat adalah Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Untuk rekod, mesyuarat itu berlangsung kira-kira dua jam yang bermula jam 10 pagi tadi. – MalaysiaGazette