Andreas Pereira. - Foto Sky Sports.

LONDON – Pemain tengah Manchester United, Andreas Pereira mengambil keputusan untuk bermain untuk Flamengo di Liga Brazil walaupun terdapat tawaran dari Everton sekaligus kekal beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Namun Flamengo kini perlu meyakinkan United untuk menerima tawaran pinjaman kerana kelab itu hanya mempertimbangkan untuk melepaskan Pereira secara tetap tetapi belum menerima sebarang tawaran.

Pereira percaya sekiranya diua bermain di Brazil, peluang lebih besar dalam kariernya iaitu bermain dalam Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Brazil.

Kali terakhir beliau membarisi skuad Brazil adalah pada Disember 2018 menentang Arab Saudi dalam aksi persahabatan.

Sebelum ini, Pereira secara terbuka mengeluarkan kenyataan kepada United bahawa dia bukan lagi pemain muda dan berusia 25 tahun.

Pereira yang dipinjamkan ke Lazio musim lalu memberitahu dirinya hanya mahu menjadi pemain utama dan sentiasa membuktikan sesuatu kepada kelab.

Masa depan Pereira di United kini masih samar meskipun ia telah beraksi dengan baik pada pra musim namun terdapat desas-desus yang mengatakan ia tidak berada dalam perancangan Ole Gunnar Solskjaer. – MalaysiaGazette