Gambar hiasan

FENOMENA filem yang berunsurkan Islam sejak akhir-akhir ini khususnya di Malaysia mahupun di negara seberang sedang hangat diperkatakan oleh masyarakat. Lambakan penerbitan filem berunsurkan Islam dari negara seberang tersebut seperti contoh Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Ketika Cinta Bertasbih 2, Makmum dan lain-lain lagi secara realitinya menjadi faktor penarik kepada pembikin-pembikin filem di Malaysia untuk menghasilkan filem dalam genre Islam atau berunsurkan Islam.

Salah satu contoh yang boleh dilihat menerusi penghasilan filem Munafik yang diarahkan oleh Syamsul Yusof pada tahun 2016 di mana filem ini telah meraih sambutan
yang cukup menggalakkan daripada masyarakat apabila berjaya meraih kutipan tiket
keseluruhannya sebanyak RM 17.04 juta. Ini mungkin didorong oleh mesej dakwah yang sarat terdapat dalam filem tersebut yang berjaya menarik perhatian masyarakat untuk menonton. Selain itu juga, mesej dakwah sangat jelas terdapat dalam filem yang bergenre seram tersebut yang mengetengahkan tema akidah, syariat dan akhlak di samping mempunyai kritikan sosial yang mantap.

Lanjutan daripada itu, usaha yang dimulakan oleh Syamsul Yusof itu diteruskan
pembikinannya menerusi Munafik 2 pada 2017 dan seterusnya ditayangkan pada 2018. Hasil yang diterima adalah sangat membanggakan apabila berjaya memperolehi kutipan pecah panggung dan juga box office sebanyak RM 37.78 juta. Kejayaan yang diperolehi oleh Syamsul Yusof dalam pembikinan filem bergenre seram ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi adik beliau iaitu Syafiq Yusof yang juga seorang pengarah muda yang berbakat besar untuk turut berkarya dalam penghasilan filem yang bergenre seram.

Hasilnya pada April 2021, sebuah naskhah filem yang diberi judul sebagai Penunggang Agama berjaya ditayangkan di saluran Astro First selepas penutupan pawagam seluruh negara disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac 2020. Karya hebat ini dihasilkan oleh Syafiq yang diterbitkan secara bersama oleh Skop Production Sdn Bhd dan juga Astro Shaw. Menurut Syafiq dalam video ‘Di Sebalik Tabir’ pembikinan filem ini, beliau menyatakan bahawa beliau telah memilih tema filem horror Islamik untuk diketengahkan dalam filem Penunggang Agama.

Manakala nada yang sama juga disuarakan oleh penerbit filem ini iaitu Datuk Dr Yusof Haslam dalam ‘Di Sebalik Tabir’ yang menyatakan bahawa ini merupakan satu keberanian yang cuba dibawa oleh Syafiq untuk berkarya ke satu genre yang lain daripada yang pernah diarah oleh beliau sebelum ini iaitu genre seram tapi Islamik. Berdasarkan kenyataan dua orang watak penting dalam pembikinan filem ini, mereka menyifatkan bahawa Penunggang Agama adalah sebuah naskhah filem yang bertemakan seram
Islamik atau bahasa mudahnya adalah filem Islam.

Persoalannya, adakah dakwaan dan tanggapan yang dikemukakan mereka berdua itu terhadap filem Penunggang Agama yang kononnya bersifat Islam merupakan satu penarafan yang tepat dan betul?  Adakah mereka yakin seratus peratus filem bikinan mereka wajar diklasifikasikan sebagai filem Islam? Jika betul-betul yakin, apakah skema dan pemberat yang digunakan untuk menyatakan ia sebagai sebuah filem Islam?

Menurut Dr. Naim Ahmad, seorang sarjana akademik yang sangat berpengalaman dalam
dunia kritikan filem dan media telah mentakrifkan filem Islam sebagai sebuah hasil seni berbentuk ‘produk halal’ yang dihasilkan dengan nama Allah melalui proses pra penerbitan, penerbitan dan pasca penerbitan dengan pengisian dan garapan bersandarkan kepada kod etika dan nilai Islam sehinggalah kepada proses edaran, tayangan dan tontonan khalayak yang bertujuan menerapkan nilai murni, menyebarluaskan dakwah Islamiah dan menegakkan amar maaruf nahi mungkar.

Manakala definisi filem Islam yang diberikan oleh Abdul Ghani Shamsudin, seorang ilmuwan terkenal di negara ini pula menyatakan filem Islam ialah yang menemukan kefahaman-kefahaman Islam dengan Allah, alam semesta, kehidupan dan manusia sebagai pertemuan yang menyeluruh dan sebahagiannya yang hanya terhad kepada sifat-sifat keislamannya. Jika dilihat daripada keseluruhan penceritaan filem Penunggang Agama, sebenarnya masih banyak adegan-adegan yang dilakonkan tidak menepati piawaian Islam dan juga syariat.

Malah, hakikatnya jika hendak dihitung mengikut neraca akidah Islam, banyak yang boleh dipersoalkan terutamanya dialog-dialog yang diutarakan oleh antagonis filem tersebut iaitu Nasir Bilal Khan yang melakonkan watak sebagai Tok Aji. Banyak dialog-dialog yang diucapkan beliau bersifat ambiguiti dan mempunyai unsur pemujaan yang jelas kepada jin dan iblis. Jika hendak dilihat daripada neraca syariat Islam pula, masih banyak adegan bersentuhan tangan antara pelakon lelaki dan perempuan yang terang-terangan dipaparkan dalam filem tersebut antaranya melibatkan Datuk Jalaludin Hasan dan juga Sabrina Ali.

Walaupun perkaitan hubungan mereka dalam filem tersebut adalah sebagai suami isteri, tetapi itu bukan tiket mudah untuk menghalalkan babak persentuhan itu, sementelah dalam filem yang dikatakan oleh tuan pengarah dan penerbit sebagai filem Islam ! Jika mahu menggunakan parameter filem Islam yang digariskan oleh Dr. Naim Ahmad, maka secara jelas lagi bersuluh bahawa filem Penunggang Agama bukanlah filem Islam malah boleh diibaratkan jauh panggang dari api!

Daripada perspektif penulis dalam sedikit pengamatan yang baru setahun jagung dalam
dunia kritikan filem Islam, boleh dikatakan kecenderungan penghasilan filem-filem yang berbentuk atau berunsurkan Islam di negara ini masih berada tahap pertengahan. Secara umumnya dan juga seperti yang diberitahu pada awal makalah ini, pada dasarnya sudah banyak filem-filem yang dihasilkan berunsurkan Islam atau mempunyai nilai Islam yang diinterpretasi daripada filem itu antaranya Munafik dan lain-lain lagi, namun untuk mencari sebuah filem yang betul-betul mengikut piawaian dan syariat Islam mungkin belum dijumpai sehingga ke saat ini.

Betapa ini merupakan jihad dan usaha yang sangat perlu digemblengkan bersama di kalangan para ahli akademik, pengkarya, pengarah mahupun penerbit untuk sama-sama mencari titik kesedaran meng’islam’kan filem itu. Difahamkan, garis panduan kod penerbitan filem patuh syariah telah lama dikeluarkan oleh pihak berwajib namun penghayatan dan pengimplementasian ke alam realiti masih lagi menimbulkan tanda tanya.

Moga ada sinar kelak dalam industri perfileman dan drama di Malaysia untuk melakukan penghijrahan ini. Ia bukan sekadar mengisi ruang dan jurang kosong dalam diri penonton untuk sekadar berhibur, tetapi lebih jauh daripada itu untuk mendapat keredhaan dan maghfirah-Nya.

OLEH: DR. MOHD ADI AMZAR BIN MUHAMMAD NAWAWI
PENSYARAH KANAN,
PROGRAM BAHASA ARAB & KESUSASTERAAN ISLAM,
FAKULTI PENGAJIAN BAHASA UTAMA,
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA