SHAH ALAM – Taktik licik seorang lelaki bergelar ‘Datuk Ken’ berpendapatan jutaan ringgit termasuk memiliki 14 unit kereta mewah dan 14 rumah banglo hasil kegiatan haram terbongkar.
Suspek yang dikatakan terlibat dalam perjudian dalam talian, bitcoin dan peminjaman wang tanpa lesen atau ahlong itu aktif sejak tujuh tahun lalu.
Datuk Ken berusia 40 tahun dipercayai dalang utama sindiket berkenaan serta dibantu isterinya berusia 41 tahun yang juga telah dicekup di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, selain pasangan itu, pihaknya turut menahan 13 lagi individu disyaki ahli sindiket haram yang sama pada 6 Julai lalu dalam serbuan berasingan di sekitar Rawang dan Gombak.
Kesemua mereka ditangkap dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
“Hasil siasatan polis mendapati lelaki berkenaan memperoleh segala kemewahan itu dengan menjalankan kegiatan haram dan kesemua 13 suspek itu disyaki pekerja mereka dan ditahan di empat buah rumah di Country Homes, Rawang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, semua 13 suspek iberusia 17 tahun hingga 40 tahun itu dan mereka meraih pendapatan antara RM2,500 dan RM8,000 sebulan mengikut peranan dan jawatan masing-masing dalam sindiket berkenaan.
“Mereka sudah dituduh pada 9 Julai lalu mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di Mahkamah Selayang,” kata Arjunaidi.
Tambah beliau, berdasarkan keterangan kesemua 13 suspek itu dan maklumat risikan, JSJ IPK Selangor dan Unit AMLA Bukit Aman kemudian melakukan tangkapan ke atas ketua sindiket bergelar Datuk Ken dan isterinya.
Hasil siasatan lanjut juga mendapati ketua sindiket itu mempunyai kaitan dengan 24 buah syarikat lain bagi ‘mencuci’ wang haram yang diperolehinya.
Malah katanya, dalam serbuan sama, polis berjaya merampas 14 kereta mewah miliknya yang dibeli menerusi wang haram dan antaranya Lamborghini Huracan, BMW 8i, Nissan GTR dan Porsche Cayman serta 14 buah banglo.
“Selain itu, kita turut menyita tiga buah unit rumah kedai, wang tunai termasuk mata wang asing serta pembekuan 71 akaun bank dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah hampir RM33 juta miliknya.
“Semakan mendapati ketua sindiket dan isterinya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan sindiket berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan jenayah dilakukan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee,” ujarnya.
Justeru, Arjunaidi menegaskan, polis sedang memburu dua lagi suspek lelaki dipercayai orang kanan ‘Datuk Ken’ bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek bernama Chuah Seong Hooi, 48, atau dikenali sebagai Ah Chong beralamat di Taman Rawang Perdana, Rawang dan Heow Hee Soon, 31, atau nama panggilannya Fei Soon yang alamat terakhirnya dikesan di Bandar Country Homes, Rawang.
Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Shahriman Mat Junus di talian 012-348 0281.- MalaysiaGazette