Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR- Gabungan pembangkang memutuskan untuk mencalonkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja sebagai perdana menteri kesembilan.

Perkara itu disahkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika dihubungi The Borneo Post hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, beliau dan partinya akan memberi sokongan terhadap Anwar.

Parti Warisan sebelum ini berhasrat menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri daripada pembangkang sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan majoriti.

Dalam pada itu, Shafie turut menyatakan kekecewaanya terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang enggan memberi sokongan terhadap calon perdana menteri dari Borneo.

“Langkah itu bukan untuk diri sendiri sebaliknya, ianya telah dipersetujui oleh para pengasas negara ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana Sabah dan Sarawak juga mempunyai hak sama rata sebagai sebuah wilayah,” katanya.- MalaysiaGazette