Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dicekup polis semalam kerana melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam kelmarin ketika suspek yang berusia 28 tahun itu berada di ruang tamu rumahnya.

“Suspek yang memegang senjata tajam iaitu sebilah gunting telah bertindak mengacukan ia kepada ibunya yang berusia 54 tahun dan mengugut untuk membunuh selain mendakwa pengadu bukan emak kandungnya.

“Suspek juga telah mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap pengadu. Pengadu yang terkejut terus masuk ke dalam bilik dan menguncinya gara-gara ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Farouk berkata, pengadu merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia sembilan tahun.

Katanya, suspek berjaya ditahan sekitar pukul 2 petang semalam dan polis turut merampas gunting kecil berukuran empat inci ketika serbuan.

“Semakan lanjut mendapati suspek yang masih belum berkahwin itu mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

“Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Punca kejadian dipercayai kerana suspek masih berada di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan tidak dapat berfikir dengan baik,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952. – MalaysiaGazette