Motosikal yang dirampas dari dua suspek.

KUALA LUMPUR – Dua suspek tempatan ditangkap kerana dipercayai terlibat dengan kes kecurian motor di Sungai Besi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata, tangkapan dua lelaki berumur dalam lingkungan 35 tahun itu dibuat hasil risikan.

Tangkapan telah dibuat di Shah Alam, Selangor dan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam kes ini selepas berjaya merampas dua buah motosikal jenis Yamaha, sebongkah enjin motosikal dan dua rangka motosikal.

Hasil semakan juga mendapati salah seorang suspek memiliki satu rekod dikehendaki melibatkan kes dadah.

Kedua-dua suspek ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur dantelah dibenarkan oleh mahkamah untuk direman di bawah Seksyen 117 KTJ selama empat hari bermula 17 Ogos hingga 20 Ogos 2021 untuk melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Muhammad Idzam menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengunci kenderaan dan meletak kenderaan di tempat yang mudah dilihat serta terang berlampu. – MalaysiaGazette