Mohd Zailan Zainuddin.

BALIK PULAU – Seorang lelaki meninggal dunia ketika sedang mencuci kediamannya akibat dilanda banjir kilat di Pulau Betong di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Zailan Zainuddin, 35, dipercayai tergelincir ketika melakukan kerja-kerja pembersihan bersama isterinya kira-kira jam 10.30 malam.

Hujan lebat menyebabkan kawasan sekitar Balik Pulau dilanda banjir kilat, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut semalam.

“Berdasarkan percakapan isteri mangsa, suaminya mempunyai rekod sakit jantung dan mayat dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk di bedah siasat.

“Buat masa ini, pihak keluarga masih menunggu keputusan ujian calitan Covid-19 sebelum proses bedah siasat dilakukan.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh pembinaan itu mempunyai dua cahaya mata berusia lingkungan dua dan lima tahun,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Keadaan rumah mangsa akibat banjir kilat semalam.

MalaysiaGazzette semalam melaporkan, kira-kira 1,000 penduduk di kawasan perumahan sekitar Teluk Kumbar, Balik Pulau serta Teluk Bahang terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama lima jam.

Hujan lebat bermula jam 10 pagi turut mengakibatkan ratusan rumah ditenggelami air lebih setengah meter.

Antara lokasi yang terjejas teruk adalah Kampung Masjid, Kampung Suluo di Teluk Kumbar; Titi Teras, Kampung Terang, Pulau Betong, Kampung Kongsi, Kampung Genting, Sungai Burung dan Jalan Bharu bagi Balik Pulau. – MalaysiaGazette