KUALA LUMPUR – Moody’s Analytics mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar global meningkat semula kepada 5.7 peratus pada 2021 selepas mengalami penguncupan tertinggi 3.6 peratus pada tahun lepas.

Menurutnya, unjuran agak kukuh itu berpandukan faktor seperti kelulusan rangsangan fiskal terbaharu di Amerika Syarikat (AS), peningkatan semula yang ketara di Eropah serta perkembangan momentum usaha vaksinasi global.

“Bagaimanapun, pemulihan global itu terus tidak sekata di serata rantau selagi keadaan (kemunculan gelombang baharu COVID-19) sukar dikawal manakala usaha vaksinasi dipertingkat,” katanya menerusi laporan ‘Global Outlook: Resurgence Risks to Recovery’ yang dikeluarkan pada Khamis.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan AS akan mendahului negara yang mencatat pemulihan dengan peningkatan semula pada 6.4 peratus dalam 2021 diikuti oleh Asia dengan pertumbuhan 6.1 peratus yang dipacu oleh kestabilan pengembangan China serta peningkatan India dalam fasa pasca-sekatan pergerakan.

Namun, ekonomi Afrika sebaliknya berkemungkinan menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada 4.3 peratus susulan penurunan 3.0 peratus pada 2020.

Moody’s Analytics juga menyifatkan sekatan pergerakan di serata dunia sebagai bukti ketidaktentuan aspek pemulihan keadaan dan pelbagai cabaran yang masih wujud dalam usaha negara-negara dunia mengekalkan landasan pemulihan masing-masing.

“Di negara-negara dengan impak ketara seperti Malaysia dan Filipina didapati kurang berkesan menangani penularan dan menyebabkan sekatan terpaksa dilanjutkan.

“Biarpun negara lain seperti Indonesia melaksanakan pendekatan kurang konservatif, namun terdapat risiko sebenar bahawa kesan kelonggaran sekatan yang terlalu awal berkemungkinan besar mengatasi pulangan jangka pendek daripada pembukaan semula ekonomi,” katanya.

Moody’s Analytics juga berpendapat faktor risiko geopolitik akan berperanan penting dalam fasa-fasa pemulihan pasca-COVID.

“Ketegangan AS-China yang berlanjutan tidak hanya menjadi satu-satunya aspek yang membentuk pilihan pelabur sebaliknya dinamik geopolitik yang sentiasa berubah di negara-negara besar di Asia Pasifik juga boleh memberi kesan besar ke atas perdagangan dan pelaburan global.

“Ini berlaku dalam persekitaran ketegangan teknologi dan pertikaian akibat keselamatan selain kenyataan retorik mengenai keperluan untuk bertindak mempelbagai kebergantungan terhadap sumber rantaian bekalan dari China,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast