Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak melambai semasa menaiki bas menuju ke Istana Negara bagi mengesahkan SD sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Ibarat dejavu apabila rakyat sekali lagi menyaksikan barisan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menaiki bas untuk menuju ke Istana Negara pada pagi ini.

Jika diimbas kembali, pada 25 Februari tahun lalu, kesemua ahli Parlimen termasuk dari Pakatan Harapan turut dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika pemilihan calon Perdana Menteri kelapan.

Susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, hari ini seramai 114 ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali lagi menghadiri sesi mengadap Paduka Baginda.

Seramai sembilan ahli Parlimen BN antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Rembau); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu);  Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands); Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datuk Salim Sharif (Jempol) berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sejak pukul 10 pagi tadi sebelum mula bergerak ke Istana Negara pada pukul 10.22 pagi.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berjalan untuk menaiki bas menuju ke Istana Negara bagi mengesahkan SD sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2021.

Seterusnya pada sesi 2 petang dijangka seramai 25 ahli Parlimen termasuklah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Rina Mohd Harun (Titiwangsa) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) akan mengadap Paduka Baginda.

Manakala pada pukul 3.10 petang pula melibatkan 22 ahli Parlimen manakala pada pukul 4.20 petang pula 18 ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang).

Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan hari ini, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, semua 114 ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu diminta hadir ke Istana Negara lebih awal dari waktu ditetapkan bagi menjalani ujian antigen Covid-19.  – MalaysiaGazette