Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, yang dijadualkan bersidang tiga hari mulai 24 Ogos ini, ditangguhkan pada 21 hingga 23 Sept depan.

Penangguhan itu dimaklumkan Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya dalam kenyataan, hari ini.

Kadzim berkata satu warta kerajaan telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong hari ini, memaklumkan penangguhan persidangan DUN Sabah itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Berdasarkan warta tersebut, pindaan tarikh persidangan DUN Sabah itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa kini yang tidak mengizinkan untuk persidangan tersebut diadakan minggu depan.

Pada awal bulan ini, Kadzim mengumumkan sidang DUN Sabah diadakan pada 24 hingga 26 Ogos, dengan pelbagai prosedur operasi standard ditetapkan antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri perlu mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum bersidang bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Kali terakhir persidangan DUN Sabah diadakan adalah pada 18 hingga 23 Dis tahun lepas bagi membentang dan membahaskan Belanjawan Negeri 2021.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast