Muhyiddin Yassin melambai tangan semasa memasuki Pintu 1 Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang kesembilan adalah bersyarat.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“Saya berharap proses pelantikan perdana menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

”Selaku Pengerusi Perikatan Nasional, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhyiddin berkata, PN sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional yang baharu.

Semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia, 18 Pas dan satu STAR serta empat Ahli Dewan Rakyat bebas Pro-PN juga telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara pada 18 Ogos 2021 menyatakan sokongan kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

PBS yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

Katanya, keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

”Keputusan ini juga bermakna Perikatan Nasional lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

”Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. DYMM Agong titah tanpa syarat, ko degil betul yer…ko ni mmg kluster penderhaka…ko nak suruh Pak Mail teruskan dasar2 ko yg gagal tu ker? Berapa ramai lg rakyat nak maut kerana dasar ko yg gagal? Masa ko nak jd PM pun ko sendiri minta sokongan mrk yg dituduh di mahkamah..boleh plak? ko ni dah lah bebal…hati busuk plak tu

Comments are closed.