Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mempelopori pembangunan dan pelaksanaan sistem peperiksaan akhir semester secara dalam talian seiring dengan persekitaran pandemik dan keperluan semasa peringkat global.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mempelopori pembangunan dan pelaksanaan sistem peperiksaan akhir semester secara dalam talian seiring dengan persekitaran pandemik dan keperluan semasa peringkat global.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata,  projek atau sistem itu dikenali Pengurusan dan Perlaksanaan Peperiksaan Akhir Secara Dalam Talian.

Antara lain projek berkenaan berobjektif untuk mewujudkan satu proses, kerangka kerja meliputi pengurusan dan pelaksanaan peperikaan yang bersistematik mengikuti peraturan peperiksaan berintegriti tinggi.

Projek iyang sama turut menjamin kualiti dan kredibiliti pengurusan dan perlaksaan peperiksaan secara dalam talian.

“Projek yang dibangunkan UTeM ini merupakan projek pengurusan peperiksaan bersepadu yang menjadikan UTeM satu-satunya universiti dalam negara yang membangunkan proses, Prosedur Operasi Stadard (SOP), kerangka kerja, peraturan dan operasi yang bersistematik peringkat global,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sumber dan Teknologi Pengajaran (PSTP) UTeM, Dr Zulisman Maksom berkata, projek itu membuktikan peperiksaan secara dalam talian ini boleh dilaksanakan dengan berkesan dan mampu mengawal kualiti peperiksaan itu sendiri.

Katanya, dari aspek pelajar pula pelajar-pelajar boleh menduduki peperiksaan di mana sahaja mereka berada di bawah pemantauan yang berkesan di samping proses penilaian akhir pelajar tidak terganggu.

Menyentuh mengenai tempoh pembangunan dan pelaksanaan projek ini beliau menyatakan projek ini mula dibangunkan sejak Mac 2020 dan perlaksannya telah berjalan selama tiga semester berturut-turut.

Ekoran keperluan mendesak pada musim pandemik melanda negara pada waktu itu maka kami bertungkus lumus bangunkannya dalam tempoh 3 bulan sahaja lalu terhasilnya Sistem Peperiksaan atau Exam Portal UTeM ini lengkap dengan segenap proses, kerangka kerja dan SOP, katanya.

Menyingkap dari aspek keberkesanan pula, Dr Zulisman menyatakan projek itu telah berjaya dilaksanakan selama 3 semester sepanjang musim pandemik.

“Oleh kerana analogi perlaksanaan peperiksaan atas talian ini masih sama seperti perlaksanaan secara fizikal maka penerimaan pelajar dan pensyarah adalah pada kadar sepenuhnya.

“Malah mereka merasakan peperiksaan atas talian ini memberikan banyak faedah terutama dari segi penjimatan masa, sumber, tenaga serta penggunaan dan penyelenggaraan ruang dan sebagainya,” katanya.

Secara spesifiknya projek berkenaan dibangunkan oleh sekumpulan kakitangan akademik dan pentadbiran UTeM yang terdiri daripada beliau sendiri bersama Dr. Mohd Adili Norasikin, Muhamad Azmi Zainal, Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib, Misdom Lan, Sahhizam Maamin, Mohd Isa Mohd Dom dan Zainudin Salleh.

Mengulas berkenaan pelaksanaannya, beliau berkata, projek itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan beberapa buah Pusat Tanggungjawab (PTj) di UTeM.

Antaranya adalah PSTP, Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi (PPPK) dan kesemua fakulti di UTeM.

Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM telah mendaftarkan keseluruhan proses, kerangka kerja dan SOP peperiksaan dalam talian yang dibangunkan ini ke MYIPO dan kini telah pun mendapat hakcipta.

Sehubungan itu UTeM  berharap agar projek berimpak global yang telah berjaya kami bangunkan ini malahan terbukti keberkesannya boleh dikomersiakan dan menjadi satu SOP kepada semua bukan hanya di peringkat nasional malahan merentas global.- MalaysiaGazette