Ng Suee Lim

SHAH ALAM – Istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 pada Isnin ini (23 Ogos) akan berlangsung secara ringkas dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, majlis akan berlangsung secara penuh istiadat namun diringkaskan dengan kehadiran sekitar 150 orang berbanding 500 orang pada persidangan DUN biasa sebelum ini bagi mengelak terlalu ramai orang berkumpul.

Beliau berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan untuk merasmikan istiadat pembukaan tersebut yang akan turut disertai Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Istiadat pembukaan kali ini berlangsung tanpa acara perbarisan dan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Sultan Selangor,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebagai langkah persediaan dan keselamatan katanya, ujian saringan COVID-19 dilaksana selama dua hari bermula semalam kepada semua pihak yang akan hadir pada istiadat pembukaan itu nanti.

Ng berkata, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga telah diberi lima kit ujian RTK-Antigen untuk membuat ujian kendiri pengesanan COVID-19 sepanjang sidang DUN yang berlangsung hingga 6 September.

Beliau berkata, setiap ADUN boleh membuat ujian tersebut selang dua atau tiga hari sepanjang dua minggu persidangan dan sekiranya didapati positif, mereka tidak boleh menghadiri persidangan dan tindakan susulan lain akan diambil.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk memastikan sidang kali ini dibuat secara kehadiran penuh meskipun dalam keadaan pandemik ketika ini kerana reka bentuk dewan telah mematuhi penjarakan fizikal selain langkah-langkah kawalan pencegahan COVID-19 lain akan dilaksanakan.

Bagi persidangan kali ini, Ng berkata, antara usul utama yang akan dibawa ialah meminda Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 1995 untuk memasukkan satu klausa iaitu pada waktu ketika luar jangka, kemudaratan, bencana dan sebagainya, Speaker akan diberi kuasa untuk boleh mengadakan sidang secara maya atau hibrid sekiranya perlu.

“Sekarang ini perkara itu tidak ada dalam Peraturan Tetap, jadi kita nak pastikan ia lebih sempurna kalau usul ini diluluskan kita akan hantar kepada Jawatankuasa Peraturan Tetap untuk kita teliti dan diangkat semula pada persidangan belanjawan akan datang,” katanya.

Ng berkata, DUN Selangor adalah negeri pertama setakat ini mengadakan usul bagi pindaan Peraturan Tetap untuk membolehkan persidangan dilakukan secara hibrid atau maya.

“Ini persediaan untuk 20 ke 30 tahun akan datang mungkin kita tak pakai (sekarang) tetapi buat persediaan lebih rapi kerana dewan kita adalah mulia dan unggul jadi kita mahu segalanya berjalan sempurna,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast