Anggota Polis mengawal setiap jalan berhampiran Dataran Merdeka berikutan bagi mengelakkan segelintir orang awam berhimpun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada kelibat sebarang perhimpunan atau perarakan Himpunan Lawan anjuran aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat diadakan di sekitar ibu negara hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ibu negara lengang berikutan kawalan keselamatan oleh pihak penguatkuasaan ketat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di semua laluan utama menghala ke Dataran Merdeka bermula jam 9 pagi.

Dalam pada itu, seluruh kawasan Dataran Merdeka di sini telah dihalang dengan pagar besi setinggi lebih satu meter bagi mengelak berlakunya sebarang perhimpunan.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh sebelum itu memaklumkan lencongan jalan akan dibuat di 88 lokasi di pusat bandar raya untuk laluan orang awam.

Anggota polis mengawal setiap jalan berhampiran Dataran Merdeka berikutan bagi mengelakkan segelintir orang awam berhimpun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2021.

Selain itu, operasi beberapa Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan semua stesen Monorel Kuala Lumpur juga ditutup sementara bagi tujuan memelihara keselamatan awam.

Terdahulu, penganjur himpunan #Lawan, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dalam kenyataan semalam memaklumkan keputusan membatalkan perancangan mereka untuk berhimpun hari ini susulan tuntutan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sudah tercapai pada 16 Ogos lalu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, SSR tidak akan teragak-agak melaksanakan lebih banyak aksi jika kerajaan baru yang dibentuk kelak gagal untuk melaksanakan tanggungjawab memastikan negara aman daripada pandemik dan kemelut politik dangkal.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tahniah….BUATLAH HIMPUNAN LAWAN pada ANWAR YANG GAGAL SUPAYA LETAK JAWATAN MP DAN KETUA PEMBANGKANG….BARU ADIL

Comments are closed.