R.Vidyanadhan
ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 16 kes melibatkan varian membimbangkan (VOC) membabitkan varian Delta dikesan di Johor sehingga Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kewujudan VOC membabitkan varian Delta menjadi punca penularan pantas dalam kalangan warga pekerja industri.
“Terdapat kes VOC membabitkan varian Delta di Johor, di mana sehingga 19 Ogos lalu sebanyak 16 kes penularan dilaporkan di negeri ini.
“Ia membabitkan kes di Tangkak sebanyak 11 kes, Segamat (dua) dan masing-masing satu kes di Muar, Batu Pahat dan Pontian,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) berhubung peningkatan ketara kadar kes Covid-19 di Johor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-14, di sini, hari ini.
Bagaimanapun kata Vidya, bilangan VOC yang dilaporkan di negeri itu masih kecil dan terkawal.
Sementara itu, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang mengakui berlakunya peningkatan kes secara mendadak di Johor.
“Penularan kes yang tinggi dicatatkan kita lihat berlaku ketika gelombang ketiga Covid-19 di Johor dan ianya berkait rapat dengan peningkatan kes di Greater Klang Valley (GKV).
“Penularan di kalangan sektor industri di negeri ini berkait rapat apabila ramai pekerja industri yang bergerak merentasi negeri ke lokasi Zon Merah bagi tujuan mendapat vaksinasi.
“Dengan kemasukan kes Covid-19 ke negeri ini, beberapa faktor dalaman mempermudahkan penularan di kalangan masyarakat tempatan, termasuk penularan di kalangan sektor industri, dimana 142 kluster industri dilaporkan masih lagi aktif sehingga kini,” katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNK) mendapati pekerja industri yang merentasi negeri ke lokasi Zon Merah merupakan antara faktor peningkatan kes Covid-19.
“Penularan kes kluster membabitkan komuniti di Johor pula banyak disebabkan aktviti ziarah semasa musim perayaan atau upacara pengebumian.
“Aktiviti sosial juga masih banyak berlaku,  dan ini menggambarkan sikap masyarakat yang masih mengambil mudah terhadap prosedur operasi standard (SOP), menyebabkan rantaian wabak sukar diputuskan,” katanya. – MalaysiaGazette