Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menawarkan Sinovac sebagai pilihan dos penggalak adalah terhad ketika ini.- Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Seramai 779 guru di Johor dilaporkan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 dan sesi kaunseling sedang dijalankan untuk memujuk mereka.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya, Madzlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan memberi penerangan tentang kebaikan vaksin agar golongan guru terbabit bersedia untuk menerima suntikan.

“Sehingga 19 Ogos, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor sudah menerima dos pertama. Berdasarkan statistik, seramai 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin.

“Seterusnya bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan 2,816 atau 39.37 peratus sudah lengkap kedua-dua dos.

“Sementara bagi staf sokongan operasi pula seramai 9,236 atau 71.49 peratus sudah menerima dos pertama dan 7,030 atau 54.42 peratus lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin,” katanya.

Madzlan Bujang

Madzlan berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kadar vaksinasi guru di negeri ini yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok.

Nor Hayati bertanya mengenai kadar vaksinasi guru di Johor dan persediaan kerajaan negeri bagi membantu pihak sekolah, guru, kakitangan sokongan sekolah, murid dan ibu bapa dalam menghadapi pembukaan sekolah pada 1 September.

Sementara itu Madzlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa juga memberitahu, JPNJ menyokong penuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi memastikan program vaksinasi mencapai 100 peratus.

“Merujuk kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 15 Ogos 2021, sesi pembukaan sekolah secara berperingkat akan bermula pada 3 Oktober.

“Pemakluman awal akan dibuat sekiranya terdapat keperluan perubahan tarikh hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.