Pemain Johor DT, Mohamadou Sumareh (kiri) meraikan jaringan bersama rakan pasukannya selepas berjaya menewaskan pasukan PJ City FC dengan 0-2 pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 21 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) kian menghampiri kejuaraan liga buat kali kelapan berturut turut selepas menumbangkan PJ City 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Benjamin Mora meraih kemenangan berganda selepas mereka menang 3-0 ke atas pasukan sama pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, April lalu.

Namun, nasib berbeza dialami skuad ‘Phoenix’ yang diperkuat sepenuhnya anak tempatan apabila tewas dalam empat perlawanan berturut turut.

Pada aksi terbabit, gol JDT dijaringkan Bergson da Silva pada minit ke-26 dan Mohamadou Sumareh berbaki lapan minit sebelum perlawanan tamat.

Sementara itu di Kuala Terenganu, Kedah Darul Aman FC (KDAFC) menumpaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Bagaimanapun skuad Penyu masih kekal menghuni tangga kedua liga dengan 37 mata selepas 19 perlawanan manakala KDAFC di tangga keempat dengan 32 mata selepas 16 perlawanan.

Skuad pelawat berjaya memecah kebuntuan apabila pemain kelahiran Lubnan, Rabih Ataya meledak gol peribadi pertamanya musim ini hasil hantaran Mohd Syazwan Zainon.

Bersambung babak kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila hantaran bekas pemain import TFC, Tchetche dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah berjaya disudahkan Syazwan pada minit ke-50.

Penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva hampir merapatkan jurang menerusi tandukan tajam pada minit ke-57 tetapi sedikit tersasar.

Sementara itu, Selangor FC menang 3-0 ke atas pasukan kedua tercorot liga, Perak FC di Stadium Perak, Ipoh.

Skuad Gergasi Merah membuka tirai jaringan pada akhir babak pertama, masing-masing menerusi pemain import dari Switzerland Oliver Buff pada minit ke-42 dan Ifedayo Olusegun lima minit kemudian.

Penyerang import dari Nigeria, Ifedayo terus menambah derita buat Perak FC, apabila meledak satu lagi gol pada minit ke-59, sekali gus mendahului senarai penjaring terbaik Liga Super musim ini dengan 22 gol, kelebihan dua gol berbanding Bergson. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast