Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dijangka akan melepaskan jawatannya.

Memetik laporan The Star Online, Azalina sudah pun mengemukakan surat peletakan jawatanya.

“Datuk Seri Azalina sudah mengemukakan surat peletakan jawatan selaku Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kepada Parlimen,” kata laporan yang memetik sumber itu.

Menurut laporan itu, tidak dapat dipastikan sama ada peletakan jawatan itu dibuat serta merta atau sebaliknya.

Nama Ahli Parlimen Pengerang itu kembali menjadi topik hangat apabila dikhabarkan akan memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)  menggantikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Azalina pernah memegang jawatan sama pada tahun 2013 ketika kepimpinan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette