Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah mahu kerajaan negeri menambah keluasan kawasan hutan simpan di negeri itu.

Titahnya,  keluasan kawasan hutan simpanan kekal yang kini 1.59 juta hektar dapat ditambah dari semasa ke semasa agar Pahang kekal signifikan sebagai green lung untuk Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, titahnya, Pahang dengan keluasan hampir 3.6 juta hektar mempunyai peratusan kawasan hutan yang masih tinggi, iaitu kira-kira 57 peratus dari keluasan negeri.

Maka Pahang merupakan penyumbang oksigen utama dan habitat bagi hidupan liar, flora dan fauna di Semenanjung Malaysia, titah baginda.

Baginda juga menitahkan agar operasi penguatkuasaan terus dilaksanakan bagi membanteras gejala penerokaan tanah secara haram di negeri itu.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mesyuarat pertama penggal ke-4 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Raja Pahang juga menasihati wakil rakyat supaya tidak menjadikan pelaksanaan prinsip Enviroment, Social and Governance (ESG) sekadar retorik sebaliknya perlu menjadi amalan itu sebagai pemimpin masyarakat.

Tengku Hassanal Ibrahim bertitah, wakil rakyat dan semua rakyat perlu serius tentang pelaksanaan prinsip ESG.

“Sesungguhnya, apa jua peranan dan pekerjaan kita dalam segala lapis masyarakat, kita haruslah memimpin menguruskan segala nikmat alam yang dipinjamkan oleh Allah SWT,”

Titah baginda semua pihak menyemak dan meneliti semula peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

“Apa yang kurang baik, maka perbaikilah ianya, agar selari dengan prinsip tersebut, saya mengalukan-alukan, pembangunan yang maju dan serba moden.

“Bagaimanapun, ianya bukanlah alasan untuk kita mengabaikan alam sekitar, dan melakukan kemusnahan sesuka hati.

“Matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Pembangunan dan kemajuan yang kita harapkan, mestilah mengekalkan kelestarian alam sekitar, flora dan fauna. Pahang mestilah ditadbir dan menjadi contoh dalam mengamalkan prinsip itu,” titah baginda.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Pahang siap sedia buka DUN, tiada lagi alasan untuk tutup Parlimen

Berbahas secara rasional, utama kepentingan rakyat – Pemangku Raja Pahang

Rakyat Pahang bangga Ismail Sabri jadi PM – MB