TikTok bersama Universal Music Malaysia memilih Meer Nash untuk menyanyikan semula lagu Seribu Tahun.

KUALA LUMPUR – Lagu berhantu Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain sudah berusia lebih sedekad.

Malah hingga kini lagu yang pernah menjadi runut bunyi drama Kerana Cintaku Saerah di TV3 itu boleh dianggap malar segar.

Pendek kata, irama lagu berkenaan boleh membuai rasa dan menyentuh jiwa. Jadi tidak pelik apabila lagu itu boleh sohor kini di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Lantas TikTok bersama Universal Music Malaysia tampil dengan usaha terus mengembalikan kegemilangan karya berkenaan dengan memilih Meer Nash untuk menyanyikan semula lagu itu.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, keputusan berkenaan mengujakan Meer atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul.

“Apabila pihak TikTok berkata lagu itu sedang trending semula dalam aplikasi mereka dan ingin menerokai kemunculan semula, saya sendiri terkesima. Iyalah kerana dalam ramai ramai artis, diri ini yang terpilih.

“Tambah pula saya sendiri secara peribadi meminati lagu berkenaan. Saya percaya bukan diri ini saja yang meminatinya, malah ramai lagi orang di luar sana berasakan hal sama,” katanya.

Kata penyanyi yang mendapat jolokan Oppa Malay ketika menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) tahun lalu, perancangan menjadikan usaha ini bermula sekitar 29 Mac lalu.

“Seterusnya terjadi perbincangan antara TikTok dan Universal Music hingga wujudnya kumpulan WhatsApp. Malah dengan situasi semasa pandemik Covid-19, mesyuarat dan perbincangan juga dibuat menerusi aplikasivideo Zoom.

“Saat itu, perbincangan juga dilanjutkan dengan membabitkan pemuzik untuk susunan semula lagu itu, tarikh rakaman dan pelancaran serta sebagainya. Akhirnya lagu itu dirakamkan pada 18 Mei lalu di RMP Production di Damansara Perdana,” katanya.

Meer Nash mendapat jolokan Oppa Malay ketika menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) tahun lalu.

Tambah penyanyi lagu Saranghae itu lagi, proses rakaman berjalan lancar.

“Saya berjaya lunaskan proses rakaman sekitar tiga keempat jam. Tak saya nafikan lagu itu sangat meruntun jiwa. Perkara yang paling mencabar untuk dilakukan ketika merakamkan lagu ini ialah di bahagian harmoni.

“Nak dijadikan cerita, emosi itu jadi terbawa bawa lagi sebab saya baru saja putus cinta. Jadi barangkali situasi itu memudahkan saya menyelami bait lirik lagu berkenaan,” katanya yang enggan larut dengan perasaan kecewa putus cinta.

Sempat ditanya apakah dia mengenai pelantun asal lagu berkenaan, Meer mengakui pernah berjumpa Imran beberapa tahun lalu.

“Saya tidak mengenalinya secara rapat. Tapi pernah berjumpanya dalam acara hiburan ketika lagu itu rancak dipromosikannya.

“Bayangkan kali pertama jumpa, saya ini bukanlah sesiapapun ketika itu, tapi Imran banyak berkongsi ilmu dan nasihat berkaitan seni. Sejak itu saya terus meminatinya,” katanya.

Sebagai komposer, Meer juga sehabis baik mendalami maksud dalam lagu berkenaansekali gus memudahkan proses rakaman dilakukan.

“Malah saya pernah merumuskan lagu ini dalam bentuk sinopsis. Daripada perspektif saya, lagu ini maksudnya menceritakan mengenai kekesalan dan rasa kehilangan terhadap insan tersayang sama ada ahli keluargaataupun kekasih.

“Disebabkan kekesalan itu juga, watak dalam lagu berkenaan sanggup melakukan apa saja untuk kembali menambat hati insan yang telah ditinggalkan.

“Tidak kira berapa lama jangka masa atau betapa jauhnya perjalanan itu, dia sanggup bertahan. Tiada istilah putus harapan dalam dirinya hingga sanggup mempertaruhkan segala galanya,” kata Meer.

Dalam perkembangan lain, Meer masih rancak mempromosikan lagu Saranghae yang diciptanya sendiri.

“Lagu itu dilancarkan sekitar lebih sebulan lalu. Buat masa sekarang, saya masih terus mempromosikannya.

“Dalam masa sama, saya juga cuba mencuri ruang mencipta lagu baru untuk single seterusnya. Cuma biasalah lama terperuk dalam rumah, ilham itu tenggelam timbul. Otak pun tepu, kreativiti berkurangan.

“Pastinya saya sendiri tak sabar untuk menantikan reaksi peminat terhadap rendisi lagu Seribu Tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran, TikTok Malaysia, Cheah Sheau Mei berkata pemilihan lagu itu dibuat berdasarkan impak tular yang dicatat sejak awal tahun ini.

“Lagu itu kembali tular di TikTok hingga menembusi carta lagu hit Malaysia di stesen radio ERA dan Hot FM.Setakat ini lagu itu sudah mencapai lebih daripada 41 juta paparan dan 20,000 video dimuat naik di aplikasi TikTok,” katanya.

Katanya lagi, lagu berkenaan juga masih relevan hingga kini.

Lagu Seribu Tahun adalah antara karya hebat yang melonjakkan nama Imran Ajmain.

Ditambah pula dengan impak drama popular Kerana Cintaku Saerah arahan Shahrulezad Mohameddin disiarkan di TV3 turut diminati ramai.

Ketika ini, lagu itu boleh didengarkan di kesemua pelantar pentsrimandigital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala, lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Meer Nash. – MalaysiaGazette