Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyampaikan sumbangan kepada mangsa fenomena kepala air di daerah Yan, Kedah hari ini.

YAN – Pengumuman pelantikan barisan menteri Kabinet baharu akan diumumkan minggu ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memaklumkan pengumuman itu akan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

“Tunggu pengumuman barisan Kabinet dalam minggu ini, kalau saya umum hari ini sudah tak suspen.

“Saya akan serahkan senarai nama untuk mendapat perkenan Agong sebelum memaklumkan senarai tersebut namun setakat ini belum ada lagi senarai barisan Kabinet.

“Jangan percaya senarai nama barisan Kabinet seperti mana yang tular di media sosial. Setiap hari ada saja senarai baru keluar dan semua itu adalah palsu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri meninjau lokasi bencana di Titi Hayun, Yan serta Merbok yang terjejas akibat fenomena kepala air pada Rabu lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai perlantikan Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan ahli politik dari Sarawak, beliau memberitahu pihaknya akan mempertimbangkan dan mengambil kira semua perkara sebelum membuat keputusan.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menegaskan, tiada kerajaan perpaduan melibatkan parti pembangkang dalam barisan Kabinet baharu.

“Kita berterima kasih atas respon pihak pembangkang berhubung isu mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi menangani Covid-19 dan ekonomi.

“Kita akan mengadakan perbincangan untuk membentuk jawatankuasa khas itu agar pihak pembangkang boleh berkongsi pendapat berkaitan Covid-19 dan ekonomi ini tidak bermakna mereka berada di dalam barisan Kabinet atau membentuk Kerajaan Perpaduan,” tegas Ismail Sabri.

Semalam, Perdana Menteri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menurut beliau, ia selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti politik baru-baru ini agar semua poihak melupakan sperbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.- MalaysiaGazette