KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) membayar dividen sebanyak sebanyak 6.7% bagi syer keutamaan iRCPS dan 6.0% bagi syer biasa bagi tahun kewangan 2020 pada 23 Ogos 2021.

Bagi tahun 2020, jumlah pembayaran dividen yang dibayar adalah sebanyak RM58.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 28.7% berbanding tahun 2019 yang berjumlah RM45.3 juta.

Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 92,459 anggota CBP yang layak, kata Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM85.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 15.9% dari tahun 2019 yang berjumlah RM73.9 juta.

Jumlah keanggotaan CBP juga telah meningkat dengan penambahan 1,039 anggota baharu dengan jumlah keseluruhan anggota pada tahun 2020 sebanyak 92,459.

Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh pengurusan CBP terutamanya semasa mendepani suasana pertumbuhan perniagaan yang agak perlahan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2020 yang berjumlah lebih RM58 juta ini merupakan jumlah yang tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak dari tahun 1950.

Jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM900 juta setakat 31 Disember 2020.

Pembayaran dividen ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan Anggota CBP dan pengeluaran boleh dibuat di mana-mana cawangan CBP, secara atas talian melalui laman sesawang CBP atau melalui aplikasi mobil MyCoopbank bermula 27 Ogos 2021.

Kamari Zaman juga memaklumkan kelewatan pengumuman dividen bagi tahun lalu disebabkan penukaran juruaudit yang dilantik yang memerlukan proses perlantikan dilaksanakan semula yang perlu mendapatkan kelulusan dari pengawal selia. – MalaysiaGazette