MSM

KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) mencatatkan keuntungan bersih RM13.47 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 berbanding kerugian bersih RM21.55 juta bagi suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan mengukuh sebanyak 23.5 peratus kepada RM554.10 juta berbanding RM448.74 juta sebelum ini,  menurut MSM kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut MSM, peningkatan premium bagi industri itu dan segmen eksport gula bertapis membantu meningkatkan pendapatan kumpulan dalam suku yang ditinjau.

“Kumpulan berjaya mengekalkan prestasi mampan meskipun mengalami beberapa kekangan operasi, diperkukuhkan lagi dengan margin dan penggunaan kapasiti yang lebih baik, serta kos kewangan yang lebih rendah,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MSM Syed Feizal Syed Mohammad berkata, penutupan sementara telah menyebabkan jumlah penghasilan produk-produk nilai tambah untuk tujuan eksport berkurangan termasuk gula cair, pra-campur dan sirap halus.

“Bagaimanapun, pendapatan bagi eksport gula bertapis telah meningkat sejajar dengan 60 peratus pertambahan dalam jumlah jualan susulan pembukaan semula sempadan,” katanya.

MSM menyatakan kos penapisan bagi tempoh suku kedua 2021 adalah lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, ekoran kos bahan pembungkusan yang lebih rendah dan pengurangan kos bahan bakar susulan semakan semula tarif gas.

Pada masa hadapan, Syed Feizal berkata, pertumbuhan pada separuh tahun kedua akan turut dipacu oleh harga dan jumlah jualan yang lebih kukuh untuk segmen domestik selain prospek pasaran eksport yang menggalakkan.

“Kami menjangkakan 10 peratus pertumbuhan dalam jumlah jualan domestik dan syarikat telah menjamin kontrak eskport sebanyak 65 peratus daripada sasaran awal sebanyak 350,000 tan untuk tahun kewangan 2021,” jelas Syed Feizal.

Beliau menambah, kelonggaran sekatan secara berperingkat bagi negara-negara di sekitar rantau dijangka merangsang permintaan dan meningkatkan jumlah eksport. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast