Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

KUANTAN – Pahang dalam usaha menjenamakan semula rumah rakit sebagai ‘Rakitstay’ di pesisiran sungai di bawah kategori chalet  bagi menaik taraf penginapan pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, permohonan sudah dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Kementerian masih meneliti cadangan  dimasukkan rumah rakit atau ‘Rakitstay’ untuk dijadikan chalet kampung dalam garis panduan pengalaman homestay Malaysia.

“Usaha penjenamaan semula di sebuah lokasi penginapan pelancongan perlu bagi menarik lebih ramai pelancong. Ini adalah satu cadangan yang baik kerana dalam pelancongan, penjenamaan semula itu amat penting untuk promosi,” katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat apa-apa persetujuan daripada pihak kementerian berhubung permohonan penjenamaan semula.

Tambah Sharkar, sehingga kini, Pahang merekodkan kira-kira 50 rumah rakit yang beroperasi di Daerah Rompin.

“50 rumah rakit yang telah beroperasi di daerah Rompin, daripada jumlah itu, sebanyak 19 rumah rakit di Sungai Pontian dengan 18 chalet.

“Manakala 31 rumah rakit di Sungai Rompin dengan 15 chalet turut beroperasi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Nilai dagangan Pahang RM42.4b tahun lalu

Cadangan santuari udang galah di Rompin dalam kajian

Bantuan Kebajikan Peneroka tanggung kos rawatan warga Felda

Beliau berkata demikian ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang semasa menjawab pertanyaan ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak (Pas) berhubung bilangan jumlah rakit yang sudah berdaftar dalam sektor pelancongan di negeri itu.

Persidangan DUN Pahang mesyuarat pertama penggal ke-4 membahaskan usul bermula 23 Ogos sehingga 26 Ogos ini dihadiri oleh 42 Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri itu. – MalaysiaGazette